![]() |
Syarezan (tengah) bersama ahli PLG Sabah dihadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Kinabalu pada Jumaat. |
KOTA KINABALU- Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Sabah hari ini menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap seorang individu berpengaruh, Fahmi Reza, atas dakwaan menghina Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah melalui beberapa hantaran di media sosial.
Setiausaha PLG Sabah, Mohd Syarezan Abdul Samat, berkata laporan polis telah dibuat berikutan kandungan hantaran tersebut yang disifatkan sebagai menjengkelkan dan tidak menghormati institusi TYT Sabah.
"Kita lihat jelas beliau telah memperlekehkan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan memainkan isu 3R (agama, kaum, dan raja).
"Sekiranya dibiarkan, perkara ini berpotensi menggugat keharmonian serta perpaduan rakyat Sabah," katanya di dalam satu sidang media dihadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Kinabalu pada Jumaat.
Selain itu, Syarezan turut menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta Kerajaan Negeri Sabah membuat tindakan dengan kadar yang segera.
"Jadi, kami dari PLG Sabah berharap agar pihak PDRM, SKMM dan Kerajaan Negeri Sabah untuk mengambil tindakan terhadap individu ini," katanya.
Beliau turut memberikan amaran kepada Fahmi Reza agar tidak mengganggu keharmonian rakyat Sabah yang terkenal dengan masyarakat berbilang kaum dan kehidupan yang harmoni.
"Sarang tebuan jangan dijolok, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
"Negara kita ada undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya," tambah beliau.
PLG Sabah berharap tindakan tegas diambil bagi memastikan isu seperti ini tidak berulang dan keharmonian Sabah terus dipertahankan.