![]() |
Sidang Media PKR Sabah di Pejabat Keadilan Sabah, di sini, hari ini. |
KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang menyebarkan berita palsu mengenai pelantikan Tun Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu, hari ini.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat merangkap Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin berkata, dakwaan bahawa pelantikan tersebut adalah perancangan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, untuk mengangkat Pengerusi KEADILAN Sabah, Datuk Hj. Mustapha Sakmud, sebagai Ketua Menteri Sabah, disifatkan sebagai tidak berasas.
Menurut beliau, tindakan segelintir pihak yang menyerang Perdana Menteri berhubung isu pelantikan itu adalah tidak wajar.
Beliau menegaskan bahawa pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
“Perkara 1(1) jelas menyatakan Yang di-Pertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicaranya selepas perundingan dengan Ketua Menteri.
“Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Negeri Sabah serta proses yang dijalankan mengikut perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan media Parti Keadilan Rakyat Sabah.
Sementara itu, beliau berkata bahawa KEADILAN Sabah turut menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Tan Sri Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, di samping menganugerahkan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara dalam satu istiadat penuh istiadat di Istana Negara.
“KEADILAN Sabah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kash kepada Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin sepanjang perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah,” tambahnya.