Musa junjung kasih kepada YDPA atas pelantikan sebagai TYT Sabah ke-11

Tun Musa Aman bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 pada istiadat di Istana Negara, hari ini.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, beliau turut menzahirkan penghargaan atas pelantikan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kerana berkenan atas perlantikan saya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 hari ini.

"Ini sememangnya satu penghormatan yang besar kerana Yang di Pertuan Agong telah mengamanahkan saya dengan pelantikan sedemikian dan tanggungjawab yang datang bersamanya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kerana mempunyai keyakinan untuk mengesyorkan saya untuk memegang jawatan ini.

"Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa bangga dan berharap saya dapat terus berkhidmat kepada negeri serta rakyat atas kapasiti saya sebagai Yang di Pertua Negeri Sabah," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama