Ewon Benedick Pengerusi PH Sabah baharu

Ewon (tengah) bersama Phoong dan Mustapha dalam sidang media selepas mesyuarat agung PH Sabah di Kota Kinabalu, di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dilantik menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu bagi penggal 2024 sehingga 2026.

Pemilihan terbabit dilaksanakan dalam satu mesyuarat agung PH Sabah yang diadakan di sini, hari ini.

Ewon berkata pemilihan terbabit merupakan tanggungjawab besar yang perlu digalas bagi memastikan jentera PH Sabah dan kerajaan MADANI dapat memberi masa depan lebih baik kepada rakyat negeri ini.

“PH Sabah mempunyai autonomi dalam menentukan tadbir urus dan kerjasama politik. Keputusan mesyuarat agung PH Sabah hari ini telah memenuhi semua kehendak perlembagaan PH dan telah berjalan dengan lancar.

“Saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada Datuk Seri Christina Liew di atas sumbangan besar beliau sepanjang menjadi Pengerusi PH Sabah selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat agung PH Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan tidak timbul perasaan gabungan PH mesti diterajui oleh parti tempatan kerana ianya mempunyai wawasan dan matlamat lebih besar iaitu memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.

“Sama ada Pengerusi PH Sabah diterajui oleh parti PKR, DAP, AMANAH atau UPKO, ianya perkara secondary. PH Sabah mengambil bahagian dalam proses kepimpinan dan demokrasi negara kerana mahu memastikan hak pembangunan, hak perlembagaan dan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.

“PH Sabah juga mahu memastikan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus stabil bagi membangunkan Persekutuan Malaysia,” katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama