KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi bagi memberi keterangan susulan video tular dikaitkan dengan beliau dimuat naik sebuah portal berita, semalam.
Beliau tiba tepat jam 9.00 pagi tadi di pejabat SPRM, Kota Kinabalu bagi memberi keterangan berhubung video tular berkenaan.
"Kehadiran saya ke pejabat SPRM sebagai komitmen untuk memberi kerjasama sepenuhnya supaya membolehkan pihak berwajib melakukan siasatan terperinci berhubung rakaman video itu," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata demikian selepas keluar dari pejabat SPRM, hari ini.
Katanya, pegawai SPRM mengambil masa dua jam setengah untuk merekodkan keterangan dan beliau berpuas hati kerana dapat memberi kerjasama.
Masiung turut mengalu-alukan mana-mana pihak berwajib untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu dan berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya.
Beliau memaklumkan, rakaman video berkenaan telah disunting dan ditokok tambah terlebih dahulu sebelum disiarkan.
"Rakaman video itu jelas tidak mengambarkan cerita sebenar, kerana ia disunting seolah-olah ceritanya berpihak kepada individu yang membuat rakaman tersebut.
" Saya bersedia dipanggil SPRM pada bila-bila masa tanpa memberi sebarang alasan termasuk sakit atau sibuk dengan komitmen tugas.
"Saya juga berharap SPRM memanggil individu yang membuat rakaman itu untuk siasatan terperinci dan menyerahkan rakaman video rakaman sebenar," katanya.
Beliau percaya, wujud campur tangan politik melibatkan parti pembangkang yang sengaja memerangkap beberapa wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai komplot menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, beliau sudah menjangkakan pembangkang akan melakukan komplot kerana berasa tergugat dengan kecemerlangan kerajaan negeri menerusi Belanjawan Sabah 2025 diluar dugaan sebanyak RM7.421 bilion yang tidak pernah dilakukan pembangkang semasa menjadi kerajaan sebelum ini.
"Saya meminta rakyat di kawasan Kuamut supaya bertenang dan tidak memberi memberi seberang spekulasi," katanya.