Dua lelaki memandu mabuk dipenjara dua hari, denda lebih RM11,000


TAWAU: Dua lelaki dihukum penjara dua hari serta masing-masing didenda RM11,500 dan RM11,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini selepas mengaku salah memandu di bawah pengaruh alkohol.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin turut mengenakan denda sebanyak RM800 ke atas Edi Manja,30, dan Nadzmer Najer, 33, kerana memandu tanpa lesen dan kenderaan tidak dilindungi insurans.  

Mengikut kertas pertuduhan, Edi dan Nadzmer didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, masing-masing pada 16 November lalu jam 11.50 malam dan 17 November lalu jam 12.45 tengah malam.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah semua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Dayang Aidaku kemudian mengenakan hukuman penjara dua hari terhadap kedua-dua tertuduh serta masing-masing didenda RM11,500 dan RM11,000.  

Majistret juga turut memerintahkan semua tertuduh tidak layak memegang lesen memandu selama dua tahun dan dikenakan hukuman penjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan. 

Semua pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee. Yew dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.

Katanya, hukuman berat itu mengambil kira kepentingan awam dan banyak risiko yang akan berlaku akibat memandu dalam keadaan mabuk.

“Kes mabuk di Tawau juga semakin meningkat, oleh itu hukuman yang lebih tinggi dapat memberi kesedaran serta peringatan kepada tertuduh dan pemandu lain,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama