Mangsa kebakaran Tg Aru terima RM16,000 sumbangan khas musibah kebakaran

Arifin menyampaikan bantuan bakul makanan kepada mangsa kebakaran - ihsan Jabatan Penerangan Sabah


KOTA KINABALU : Seramai 16 keluarga mangsa kebakaran Kampung Tanjung Aru Baru menerima Sumbangan Khas Musibah Kebakaran berjumlah RM16,000.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berharap bantuan daripada Tabung Zakat dan agensi agama tersebut dapat mengurangkan bebanan para mangsa yang terlibat.

"Terdapat 16 ketua isi rumah dengan 61 ahli melibatkan enam buah rumah terbakar dan kita daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah membantu sedikit sebanyak keperluan.

"Seperti mana kita membantu di mana-mana ada kebakaran dan banjir yang melibatkan mangsa dan kita bersyukur kerana dapat bersama-sama pada hari ini dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM)," katanya semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Bersama Agensi-Agensi Agama (MUIS), pada Sabtu.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru, Mohd Reduan Aklee berkata permohonan empat buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) telah dimajukan kepada kerajaan negeri melalui agensi pelaksana Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

"Saya telah mengajukan permohonan sebanyak empat unit memandangkan hanya itu saja yang dapat menampung lokasi ataupun tapak tanah mereka.

"Mangsa kebakaran ini ada dua geran tanah persendirian maka setiap geran tanah itu kita pohon dua rumah SMJ, perkara ini telah diproses dan saya berharap permohonan ini dapat diluluskan dengan kadar segera bagi keselesaan mereka semua," jelasnya.

Selain wang tunai, mangsa-mangsa kebakaran turut menerima sumbangan bakul makanan pada majlis tersebut.

( JABATAN PENERANGAN SABAH )



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama