Musa bebas dari sebarang dakwaan rasuah, ICAC tidak temui sebarang kes berkaitan

Abdul Rahman berkata pihaknya maklum terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan Musa yang dilantik sebagai Yang di Pertua Negeri Sabah baharu susulan dakwaan beliau terlibat dengan kes rasuah.


KOTA KINABALU: Tun Musa Aman bebas daripada sebarang dakwaan rasuah termasuk Independent Commission Against Corruption (ICAC) yang tidak menemui sebarang kes mengenainya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata pihaknya maklum terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan Musa yang dilantik sebagai Yang di Pertua Negeri Sabah baharu susulan dakwaan beliau terlibat dengan kes rasuah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau menyifatkan ia satu tuduhan berat kerana tidak langsung mempertikaikan kebijaksanaan Yang di Pertuan Agong yang melantik Musa sebagai Yang di Pertua Negeri Sabah baharu.

"Persoalan yang timbul sekarang ialah kepada siapa kita perlu rujuk untuk menilai sama ada tuduhan yang berat ini betul atau tidak? Sudah tentu rujukan utama kita ialah kepada keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara.

"Ketiga-tiga entiti ini telah melepaskan Musa daripada tuduhan rasuah. Untuk makluman, Yang di Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah sekarang ini langsung tidak terlibat dalam keputusan pembebasan TMA pada Jun 2020. Ketiga-tiga mereka belum pun memegang jawatan mereka pada waktu itu.

"Saya yakin pembebasan Musa oleh ketiga-tiga entiti ini telah menjadi asas utama kepada proses “vetting” atau tapisan ketat yang telah dilakukan oleh pihak Istana Negara sebelum mengumumkan perlantikan Musa sebagai Yang di Pertua Negeri Sabah. 

"Asas lain yang diambil kira sudah tentu khidmat Musa sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencapaian pembangunan negeri Sabah yang memberangsangkan semasa pentadbiran beliau," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan mana-mana pihak yang mempertikaikan perkara terbabit mendapat campur tangan dari tiga entiti yang disebutkan harus merujuk dahulu keputusan oleh ICAC.

"Sebelum ini, ada seorang ahli parlimen pembangkang (pada waktu itu), telah membuat aduan rasuah yang sama terhadap Musa kepada ICAC. ICAC adalah antara agensi anti rasuah yang paling dihormati dan disegani di persada antarabangsa.

"Menurut Transperancy International (sebuah badan bebas antarabangsa yang berfungsi untuk memantau dan membanteras rasuah di seluruh dunia), reputasi dan profesionalisme kerja ICAC telah menjadi piawaian emas atau “Gold Standard” kepada agensi pembenteras rasuah di seluruh dunia.

"Tiada siapa yang berani menuduh ICAC dipengaruhi oleh tangan-tangan ghaib kerana ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dipertikai. 

"Untuk makluman, ICAC telah membuat siasatan yang terperinci (termasuk kerja-kerja siasatan dalam Malaysia) terhadap tuduhan ahli pembangkang itu dan akhirnya ICAC mendapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap Musa," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama