Lima rumah teres terbakar di Taman Aman, Lahad Datu

 


LAHAD DATU: Sekurang-kurangnya lima buah rumah teres satu tingkat terbakar di Taman Aman 1 Jalan Silam di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.31 petang.

Katanya, seramai 19 anggota dan pegawai bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati api sudah mula merebak dan telah memusnahkan beberapa buah rumah di kawasan berkenaan.

“Pasukan operasi menggunakan empat pancutan air daripada pili bomba berhampiran di taman perumahan terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi menjalankan operasi pemadaman kira-kira satu jam sebelum api dapat dikawal pada jam 6.30 petang.

“Sebanyak dua buah rumah dilaporkan musnah keseluruhannya, manakala tiga lagi mengalami kebakaran sebanyak 20 hingga 50 peratus.

“Kebakaran itu hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Sumsoa berkata, pasukan operasi menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain wujud, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.35 malam.

“Pasukan forensik bomba akan menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama