Ketegasan kerajaan jaga kedaulatan sumber asli negeri penting, pastikan Sabah maju tanpa abaikan alam sekitar - Nizam


KOTA KINABALU: Ketegasan kerajaan dalam menjaga kedaulatan sumber asli negeri ini adalah langkah penting untuk memastikan Sabah terus maju tanpa menggadaikan kepentingan alam sekitar.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata beliau memberi sokongan penuh kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menegaskan tidak pernah mengeluarkan lesen melombong kepada mana-mana pihak.

Katanya, sumber mineral Sabah akan terus dijaga dengan penuh integriti demi kesejahteraan rakyat.

"Sebagai rakyat Sabah, saya percaya ketegasan kerajaan dalam menjaga kedaulatan sumber asli negeri ini adalah langkah penting untuk memastikan Sabah terus maju tanpa menggadaikan kepentingan alam sekitar. 

"Mengeluarkan lesen 'prospecting' untuk tujuan penerokaan dan kajian geomineral adalah satu hal yang biasa untuk tujuan kajian dan meneroka potensi.

"Pada masa yang sama, usaha pihak tertentu untuk memanipulasi fakta melalui penyebaran video dan propaganda politik bagi mencetuskan keresahan adalah tindakan tidak bertanggungjawab. 

"Tuduhan palsu sebegini hanya bertujuan untuk menggugat kestabilan politik negeri serta mencemarkan nama baik kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran yang diterajui Hajiji atas komitmen beliau untuk mempertahankan prinsip ketelusan, keadilan, dan kejujuran dalam pengurusan sumber asli negeri ini.

"Marilah kita semua bersama-sama menyokong usaha ini demi memastikan Sabah terus maju, stabil, dan makmur untuk generasi masa depan," katanya.

Semalam, media melaporkan Hajiji berkata pihaknya tidak akan tunduk terhadap sebarang usaha yang dilakukan mana-mana pihak dengan niat untuk menggugat kestabilan politik di negeri ini.

Menurutnya, berikutan penyebaran beberapa klip video terbaharu yang tular baru-baru ini, beliau memberi jaminan bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat. 



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama