RANAU: Seramai lapan individu termasuk pemandu cedera selepas Bas Persiaran yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di kilometer 12, Jalan Ranau-Telupid, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Bas Persiaran yang membawa 23 orang penumpang tersebut dilaporkan terbabas sendiri semasa melalui laluan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.14 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah Bas Persiaran telah terbabas sendiri berhampiran simpang Ladang Teh Luanti, di sini.
“Lapan mangsa berusia 47 hingga 68 tahun mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan awal oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Ranau menggunakan dua buah ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi dan setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang,” katanya.