![]() |
Foto ihsan Bomba |
KUALA PENYU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terbalik di Kampung Kepayan Skim, Jalan Menumbok-Kuala Penyu, di sini, pada petang Isnin.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 3.52 petang.
Seramai lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 4.12 petang.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah kenderaan Toyota Hilux terbabas sendiri melanggar tiang elektrik sebelum terbalik.
"Mangsa yang berada di dalam kenderaan berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba," katanya.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.26 petang setelah pihak Bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.