![]() |
Arsit (tengah) menyampaikan watikah pelantikan Ketua Adat Tidung Daerah Putatan kepada Hussein Mohammad (kanan) sambil disaksikan Sahran (kiri) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
PUTATAN: Festival Makow Sabai Borneo 2025 (Pesta Kebudayaan Etnik) dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung ke Tawau.
Penasihat Ketua Adat Tidung Pantai Barat Sabah, Datuk Seri Arsit Sedi menjelaskan, festival yang dijadual berlangsung pada pertengahan Februari 2025 itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Kompleks Sukan Tawau.
"Program ini diadakan bertujuan untuk mengenengahkan budaya dan adat masyarakat Tidung yang akan menampilkan persembahan kebudayaan, makanan tradisional berasaskan Ubi kayu dan permainan.
"Pada festival ini kita juga akan menjemput kumpulan etnik yang lain melalui persatuan dan sekolah adat masing-masing termasuklah kumpulan etnik daripada negara Indonesia.
"Selain mengeratkan hubungan dan perpaduan kaum acara ini dijangka akan menjadi tarikan besar kepada industri pelancongan negeri sekaligus menjana ekonomi komuniti setempat," katanya ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Ketua-Ketua Adat Tidung Zon Pantai Barat Sabah di sini pada Ahad.
Pada majlis itu, seramai 41 Ketua Adat Tidung Zon Pantai Barat Sabah menerima watikah pelantikan masing-masing yang disampaikan oleh Arsit.
Hadir sama ADUN Sebatik merangkap Penasihat Ketua Adat Tidung Tawau Datuk Hassan A Ghani Pg Amir, Ketua Dewan Adat Nusantara, Kalimantan Utara Indonesia Sura'i S. SOS M.AP, Presiden Momogun Congress Tan Sri Wences Angang serta Presiden Sunduan Nabalu Shalmon Sanangan.
Mengenai majlis pentauliahan tersebut, Presiden Pertubuhan Gabungan Adat Bangsa Tidung Negeri Sabah (PANTAS) Datuk Seri Sahran Untai ketika ditemui media berkata, ia diadakan bagi mengiktiraf ahli-ahli yang dilantik sebagai pemimpin adat yang berperanan memelihara dan melestarikan adat istiadat masyarakat Tidung di kawasan masing-masing.
"Selain daripada itu pentauliahan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan perpaduan melalui ketua-ketua adat dengan etnik-etnik lain di Sabah serta memastikan ketua-ketua adat melestarikan warisan budaya agar terus kekal dan diwarisi generasi yang akan datang.
"Adalah diharapkan dengan pentuliahan ketua-ketua adat ini serta penganjuran Festival Makow Sabai Borneo 2025 akan menjadi wadah untuk mempromosi perpaduan bangsa, memperkukuhkan identiti budaya tempatan serta mengangkat industri pelancongan berasaskan kebudayaan kepada masyarakat luar," ujarnya.
Ketika ini, PANTAS mempunyai keahlian seramai 125,000 ahli dengan 300 dilantik sebagai ketua adat melalui Majlis Adat Tidung Sabah (MATS).
( JABATAN PENERANGAN SABAH )