![]() |
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini giat dijalankan - Foto ihsan Bomba |
KINABATANGAN- Seorang lelaki dilaporkan dibaham buaya dalam insiden di Kampung Bilit, Kinabatangan, Sabah, pada pagi Isnin.
Mangsa, Maznin Kahar, 40, dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya bersama tiga rakan sekerja terbalik dan karam.
Kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi ketika mereka dalam perjalanan membawa muatan kayu belian dari lokasi pemunggahan yang tidak diketahui.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.35 tengah hari dan tiba di lokasi pada jam 2.35 petang.
"Bot tersebut dipercayai melanggar suatu objek sebelum terbalik, menyebabkan semua penumpang tercampak ke dalam sungai.
"Tiga daripada mereka berjaya menyelamatkan diri ke tebing sungai, namun Maznin yang dipercayai diserang buaya, gagal diselamatkan oleh rakan-rakannya," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini giat dijalankan dengan kekuatan tiga anggota bomba.
Turut terlibat dalam operasi ini empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Jabatan Hidupan Liar, serta empat penduduk kampung yang menggunakan sebuah bot milik penduduk tempatan.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemui, dan operasi pencarian masih diteruskan.