![]() |
Sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menganjurkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini. |
KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menggesa agar mana-mana pihak khususnya dari golongan pelajar universiti untuk menggunakan pendekatan dialog berbanding perhimpunan jalanan bagi menyuarakan sebarang isu penting.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pemuda GRS mengambil maklum berkenaan rancangan sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menganjurkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.
"Kami percaya bahawa isu-isu penting, termasuk rasuah, boleh disuarakan melalui dialog dan perbincangan yang konstruktif bersama pihak berkaitan. Pendekatan ini lebih berkesan dan tidak menjejaskan ketenteraman awam.
"Mengadakan perhimpunan di jalanan bukan sahaja berisiko mencetuskan insiden yang boleh menjejaskan keselamatan peserta dan orang awam, tetapi juga akan mengganggu keselesaan masyarakat dan pelancong, terutamanya ketika musim cuti akhir tahun.
"Aktiviti seperti ini boleh menjejaskan imej negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan yang aman dan harmoni," jelas dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, Pemuda GRS turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk mempertimbangkan pembatalan permit perhimpunan terbabit demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
"Keutamaan harus diberikan kepada kesejahteraan masyarakat dan kelancaran aktiviti pelancongan yang menjadi nadi ekonomi Sabah.
"Selain itu, pelantikan mana-mana jawatan penting di negara ini, termasuk Yang di-Pertua Negeri, dibuat berdasarkan keputusan Majlis Raja-Raja dan Yang di Pertuan Agong. Keputusan ini harus dihormati sebagai simbol perpaduan dan kestabilan negara.
"Segala tuduhan berkaitan kes rasuah perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kehakiman untuk disiasat secara telus. Proses undang-undang memerlukan masa bagi memastikan setiap pihak mendapat keadilan," ujar pihaknya dalam kenyataan itu.
Disamping itu, dalam kenyataan itu turut menasihatkan pelajar berkenaan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh memudaratkan masa depan mereka.
"Pendidikan adalah keutamaan, dan ia perlu dijaga demi menjamin masa depan yang cerah.
"Pelajar adalah aset negara, dan kami menyeru mereka untuk berhati-hati agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan politik.
"Fokus kepada pendidikan dan pembangunan diri adalah lebih penting daripada terlibat dalam agenda politik pihak tertentu," jelasnya.
Pemuda GRS turut menyeru kepada Lembaga Disiplin UMS untuk memberikan nasihat tegas kepada pelajar berkenaan tidak terlibat dalam himpunan terbabit.
"Sebagai institusi pendidikan, UMS perlu memastikan pelajar mereka fokus kepada akademik dan aktiviti yang membina, bukannya terlibat dalam aktiviti yang berisiko menjejaskan masa depan mereka," jelasnya.