SAPP umum keluar dari PN secara rasmi

 

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengumumkan telah menarik diri dari gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presiden SAPP,  Datuk Yong Teck Lee berkata keputusan terbabit dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 November lepas.

Katanya, ibu pejabat PN juga telah dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan ini pada bulan lepas.

Mengulas lanjut, katanya PN mempunyai niat jelas untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

"Ia satu pendirian yang bertentangan dengan pendirian dan dasar SAPP yang selama ini menyatakan bahawa semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya  ditandingi oleh parti-parti tempatan Sabah.

"Pendirian SAPP ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi Sabah. Kami tidak boleh berkompromi dengan komitmen kami untuk memastikan bahawa pilihan raya bagi DUN Sabah kekal di bawah bidang kuasa parti tempatan disamping bebas daripada campur tangan parti yang berpusat di Semenanjung Malaysia.

"Tetapi desakan PN untuk meletakkan calon daripada parti Semenanjung dalam PRN Sabah secara langsung sangat bertentangan dengan prinsip asas ini," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Teck Lee turut berkata pihaknya sebelum ini telah mengemukakan usul kepada Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mempertimbangkan untuk  meletakkan calon di semua 73 kerusi DUN.

Katanya, ini penting dalam menegakkan hak Sabah di bawah MA63 dan mencerminkan aspirasi rakyat Sabah yang kuat untuk sebuah kerajaan yang mengamalkan federalisme sejati.

"Dengan kurang daripada 10 bulan sebelum PRN akan datang, kami menggesa Majlis Tertinggi GRS untuk segera menyelesaikan sebarang ketidakpastian mengenai penjajaran GRS dan Pakatan Harapan Sabah (GRS-PH Plus).

"Hal-hal ini mestilah dijelaskan sebelum tahun baru untuk membolehkan rakyat Sabah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat mengenai masa depan politik mereka.

"Sebagai peringatan, tanpa mengira apa yang mungkin dikatakan oleh pemimpin DAP atau PH Sabah, kuasa membuat keputusan muktamad tetap berada di ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur. Seperti yang kita lihat, PH dan Barisan Nasional (BN) telah mengukuhkan perikatan mereka, tanpa mengira niat baik GRS kepada PH.

"SAPP kekal komited sepenuhnya kepada GRS, satu-satunya gabungan yang terdiri daripada 100 peratus parti tempatan, mengutamakan autonomi dan penentuan nasib sendiri Sabah," katanya.

Teck Lee turut menambah walaupun masa depan politik Sabah berada di tangan rakyat negeri ini, SAPP akan terus memperjuangkan prinsip ini dan sebuah kerajaan yang mewakili rakyat Sabah.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama