![]() |
Foto ihsan Bomba |
TAMBUNAN- Lima termasuk seorang kanak-kanak terselamat apabila kenderaan jenis Perodua Bezza dinaiki mereka terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter di Kampung Pahu, Tambunan, di sini malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George panggilan kecemasan diterima pada jam 8.46.
Seramai 7 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 9.29 malam.
"Siasatan awal mendapati kesemua mangsa telah keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
"Daripada lima mangsa, tiga wanita dewasa mengalami kecederaan," katanya.
Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut di Hospital Tambunan.
Manakala dua lagi mangsa, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.50 malam setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," ujarnya.