KOTA KINABALU: Kota Kinabalu Christmas Celebration (KKCC) 2024 menjadi lambang keharmonian masyarakat Sabah, menyerlahkan semangat kasih sayang dan perpaduan yang ditonjolkan sepanjang acara berlangsung.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, KKCC 2024 menonjolkan kepentingan menghormati perbezaan dan memperkukuhkan hubungan sesama komuniti.
Beliau yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) negeri itu berharap sambutan tahunan ini dapat meninggalkan kenangan manis serta mempereratkan lagi ikatan persaudaraan.
Berucap pada malam penutupan KKCC 2024, di Padang Merdeka, semalam, beliau menekankan bahawa kejayaan acara terbabit tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada komuniti.
Antara pencapaian terbesar sambutan tahun ini ialah rekod baharu yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records bagi "Largest Distribution of Hand-Made Beads Necklace", dengan lebih 10,000 kalung manik diagihkan secara percuma kepada semua yang hadir.
“Ia adalah simbol perpaduan dan kasih sayang yang kita raikan bersama. Kita bersyukur kepada kerajaan hari ini kerana kita dapat menganut agama kita tanpa sebarang halangan.
"Justeru, sebagai satu tanda yang kerajaan hari ini mengamalkan kepelbagaian agama, peruntukan kerajaan kepada semua penganut bukan Islam telah ditingkatkan tahun demi tahun iaitu sebanyak pada tahun hadapan (2025) peruntukan yang disalurkan ialah RM70 million berbanding tahun semasa (2024) RM56 million.
“Itu satu peningkatan terbaik dan kita amat menghargai Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor," katanya.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Timbalan Speaker Dewan Undangan (DUN) Sabah, Datuk Richard Yong We Kong; Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd, Datuk Seri Madius Tangau; dan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tan Lee Fat.