Sabah sambut baik kadar kenaikan bantuan subsidi FLYsiswa

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif bergambar bersama penerima sumbangan anak yatim dalam Program Ambang Krismas DUN 31 Membakut bertempat di Dewan Terbuka Membakut


MEMBAKUT: Kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Januari depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata pengumuman terbabit disifatkan mampu mengurangkan beban pelajar yang harus membeli tiket penerbangan untuk pulang ke kampung halaman.

Disamping itu, katanya kerajaan negeri sebelum ini juga telah melaksanakan inisiatif Graduan Rindu Sabah iaitu bantuan subsidi sekali bayar RM600 telah diberikan kepada pelajar Sabah yang belajar di IPT awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan, untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Di peringkat negeri kita ada program Sumbangan kepada Mahasiswa IPT Dalam Sabah (SENTOSA) untuk pelajar yang belajar di negeri Sabah dan mendapat RM300.

"Jadi (tambahan inisiatif Graduan Rindu Sabah), RM600 (diberikan) untuk anak-anak Sabah yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan. Dengan adanya penambahan ini, lebih selesa bagi anak-anak kita untuk balik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Ambang Krismas DUN 31 Membakut bertempat di Dewan Terbuka Membakut, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut itu turut berkata bantuan subsidi Graduan Rindu Sabah itu boleh digunakan bila-bila masa terutamanya pada musim perayaan dalam tempoh setahun.

"Jadi ini kebaikannya dan dngan adanya lagi tambahan (bantuan), anak-anak kita selesa dan mudah untuk menampung (kos) tambang penerbangan mereka," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama