SEMPORNA: Seorang lelaki pelancong warga China dipercayai bertindak terjun laut ditemui lemas, di perairan Pulau Mabul, di sini, semalam.
Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an itu ditemui kira-kira jam 11.30 pagi dikedalaman 17 meter berhampiran dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa pada jam 9.50 pagi.
Katanya, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna bersama penyelam dari resort berhampiran bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebaik beberapa jam operasi SAR dijalankan, mangsa ditemui berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang di kedalaman 17 meter.
“Mangsa ditemui dalam keadaaan masih memakai beg galas warna kelabu dan mengandungi tiga batu bata,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, berkaitan kejadian itu, polis telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasi sebagai laporan kematian mengejut.
Mohd Sabri berkata, proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa 48 jam sekirannya masih tiada waris yang tampil untuk menuntut mayat mangsa.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan segera menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Ali Amat di talian 013-2120852 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020.
“Orang ramai juga boleh tampil untuk menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.