Kerajaan komited bantu golongan MBPK dapat pendidikan sewajarnya

Nizam(tengah) ketika merasmikan Karnival Kebolehpasaran MBPK Peringkat Daerah Tawau, di sini hari ini. 

TAWAU: Kerajaan sentiasa memberikan perhatian dan komited dalam membantu semua modal insan termasuklah golongan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) tanpa terkecuali di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata golongan MBPK perlu diberikan pendidikan yang sesuai supaya mereka dapat berdikari dan menyumbang sesuatu kepada negara.

Katanya, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan kelas-kelas khas di sekolah terpilih supaya MBPK tidak terjejas dari segi pendidikan mereka.

“Bagi mengatasi masalah golongan ini tercicir mendapat pendidikan khas, kerajaan telah membuka sebanyak 10 buah sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah untuk MBPK di Tawau.

“Saya yakin usaha kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini, sudah pasti anak-anak berkeperluan khas dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara kelak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kebolehpasaran MBPK Peringkat Daerah Tawau, di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, Matnoor Sima

Sementara itu, Nizam turut menasihatkan semua ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas supaya datang ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan anak mereka.

Katanya, ibu bapa tidak perlu malu mempunyai anak-anak berkeperluan khas kerana mereka juga boleh menyumbang bakti seperti anak yang lain sekiranya mendapat pendidikan yang sesuai.

“Kita seharusnya menerima kehadiran mereka sebagai satu keistimewaan dan bukannya menjadi beban kepada ibu bapa atau negara.

“Justeru, saya meminta semua ibu bapa berkenaan supaya menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah yang mempunyai pendidikan MBPK,” katanya.

Mengulas mengenai karnival ini, katanya, inisiatif PPD Tawau khususnya jawatankuasa pendidikan khas perlu diberikan pujian kerana dapat menganjurkan program sebegini.

Katanya, karnival ini sangat bertepatan kerana ia dapat memberikan kesedaran kepada semua pihak sama ada ibu bapa, masyarakat dan warga guru tentang tanggungjawab bersama terhadap golongan ini.

“Semua pihak juga perlu diberikan pendedahan terhadap penjagaan kanak-kanak seperti ini supaya mereka tahu cara mengatasi sekiranya terdapat masalah yang timbul.

“Saya juga meminta kepada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta supaya memberikan peluang kepada golongan ini untuk bekerja serta menyumbang bakti,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama