5,000 liter minyak petrol cuba diseludup ke Filipina berjaya dirampas

Pasukan APMM berjaya mengesan sebuah bot yang membawa muatan 25 tong biru berisi minyak petrol dianggarkan 5,000 liter dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina. 


KUDAT: Hasrat dua warga asing cuba menyeludup 5,000 liter minyak petrol ke Filipina gagal selepas dipintas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Paitan, Pitas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, pasukan APMM mengesan sebuah bot sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pihaknya menjalankan operasi khas di sekitar perairan Pulau Mandi Darah bagi membanteras kegiatan penyeludupan minyak yang kerap berlaku khususnya di kawasan perairan Kudat.  

Katanya, bertindak berdasarkan maklumat perisikan yang diterima, bot ronda Zon Maritim Kudat diatur gerak ke lokasi sekitar 1.6 batu nautika Timur Laut Telukan, Paitan, Pitas bagi mengesan aktiviti terbabit.

“Setibanya di lokasi, bot ronda yang ditugaskan berjaya mengesan satu pergerakan sebuah bot dalam keadaan gelap.

“Ketika cuba dihampiri, dua individu yang mengendalikan bot terbabit bertindak terjun ke laut dan cuba untuk meloloskan diri di kawasan paya bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Bagaimanapun katanya, seorang daripada suspek berjaya diberkas manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, bot berkenaan membawa muatan 25 tong biru berisi minyak petrol dianggarkan 5,000 liter dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek yang ditahan adalah warga Filipina berusia 28 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bot bersama suspek serta barang rampasan seterusnya ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM25,000. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama