![]() |
Foto ihsan Jabatan Imigresen Malaysia |
LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah hantar pulang 180 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ke negara asal melalui Jeti ICQS Lahad Datu, semalam.
Semua PATI terbabit adalah tahanan dari Depot Imigresen Sandakan dan dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut feri MV Ming Hai Express ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang ini membabitkan 79 lelaki, 38 wanita dan 63 kanak-kanak berusia sekitar setahun sehingga 80 tahun
Katanya, kanak-kanak yang terbabit dengan program berkenaan akan balik ke negara asal bersama ibu bapa atau penjaga yang sah. Semua tahanan telah balik ke negara asal atas program pembiayaan sendiri.
“Kadar pembayaran tiket feri yang dikenakan ke atas tahanan asing yang balik adalah termasuk caj kemudahan pengangkutan bas mulai dari lokasi Sandakan ke Lahad Datu iaitu bernilai RM370.
“Penumpang dewasa dikenakan bayaran sebanyak RM370, kanak-kanak berusia lima tahun ke 13 tahun RM210 dan percuma bagi kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, semua PATI yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara,” katanya.
Beliau berkata, hingga kini seramai 6,185 tahanan warga Filipina sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PATI dihantar pulang mencecah 8,842 orang.
“Semua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan," katanya.
SH Sitti Saleha berkata, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan jalinan hubungan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan asing di Malaysia.
“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot imigresen di Sabah.
“JIM Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.