Kediaman Naib Ketua Bahagian Umno Kalabakan musnah dalam kebakaran

Tiga buah rumah termasuk kediaman Naib Ketua Bahagian Umno Kalabakan di Kampung Muhibbah Raya, Lorong Muhibbah 6, di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.


TAWAU : Kediaman Naib Ketua Bahagian Umno Kalabakan antara tiga buah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah Raya, Lorong Muhibbah 6, di sini, petang tadi.

Jerry Kassim, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.00 petang itu hanya kedua Ibu bapa bersama seorang cucu mereka berada di rumah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, walaupun rumah pusaka mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu, namun dia tetap bersyukur apabila ahli keluarganya sempat menyelamatkan diri. 

"Saya reda dengan kejadian ini dan menganggapnya sebagai satu ujian atau takdir daripada yang Maha Esa dan yakin pasti ada hikmah yang lebih baik disebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.18 petang.

Menurutnya kebakaran membabitkan tiga rumah kediaman iaitu dua musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 70 peratus.

“Operasi pemadaman menggunakan  dengan sumber air dari jentera dan pili berhampiran sebelum api berjaya dikawal pada jam 5.56 petang tanpa melibatkan sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa.

"Operasi disertai seramai 19 anggota termasuk pegawai bersama dua jentera dan lori tangki air serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama