![]() |
Amaran hujan berterusan peringkat waspada bagi negeri Sabah sehingga Isnin, 30 Disember 2024. |
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan peringkat (Waspada) yang melibatkan kawasan Timur dan Barat di Sabah pada Rabu lalu.
METMalaysia melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada 1.00 tengah hari itu berkata amaran waspada itu dijangka berlaku dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu, 28 Disember 2024, sehingga Isnin, 30 Disember 2024.
Menurutya, antara kawasan yang terlibat termasuk Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan), serta Kudat.
"Oleh itu penduduk setempat diminta untuk sentiasa cakna dan peka dengan keadaan cuaca semasa terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan berkedudukan rendah dan kerap banjir," tambahnya.
Di samping itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora pada kategori pertama pada bahagian Condore dan Reef North yang dijangka berlaku sehingga 29 Disember 2024 ini.
Katanya, ketinggian ombak berpotensi mencecah hingga 3.5 meter, menjadikannya sangat berbahaya untuk sebarang aktiviti perkapalan, bot kecil, serta sukan dan rekreasi laut.