
PENAMPANG: Sekolah Menengah (SM) St.Micheal Penampang mencatatkan sejarah tersendiri apabila mengukir nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) melalui penanaman halia paling banyak di sekolah iaitu 4,857 pokok.
Majlis MBR The Largest Zingiber Officianale Tree Planting Event” itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick, di sekolah itu, di sini, semalam.
Ewon ketika berucap dalam majlis itu berkata ia merupakan kali ke-12 sekolah terbabit mencipta rekod tersendiri.
“Saya berharap inisiatif ini dapat mencapai matlamat dan saya juga akan terus memberi sokongan sewajarnya untuk membantu menjayakan program pembangunan pendidikan di sekolah ini dan sekolah lain di Penampang,” katanya.

Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Penampang Francis Chong, Pengetua Cemerlang SM St.Micheal Jennifer Asing, wakil MBR, Siti Nurhanim Mohd Noh.
Dalam pada itu, Ewon berkata kementeriannya menyediakan pelbagai skim pembiayaan khusus untuk koperasi termasuk koperasi sekolah.
“Sekiranya inisiatif seperti ini dilaksanakan oleh koperasi sekolah, kita mempunyai Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) berkenaan keterjaminan makanan.
“Selain itu Bank Rakyat juga mempunyai Skim Pembiayaan BRTani khusus untuk memacu industri makanan dan pertanian sekaligus meningkatkan pengeluaran agromakanan negara,” katanya.
Ewon berkata, selaku Ahli Parlimen Penampang, beliau akur dengan keperluan sekolah di seluruh kawasan Penampang dan akan terus memberi sokongan bagi menjayakan program mereka.
Antara objektif penanaman halia di sekolah itu ialah untuk membudayakan kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga sekolah dan komuniti luar melalui amalan 3R.
Selain itu ia juga bertujuan untuk memupuk minat keusahawanan di kalangan pelajar sekolah, memupuk minat bercucuk tanam dan melahirkan murid yang kreatif dalam memanfaatkan bahan terpakai untuk meningkatkan kelestarian alam sekitar.