Cubaan seludup keluar lebih 10,000 liter petrol ke Filipina digagalkan

Bot jongkong yang sarat dengan muatan petrol disyaki cuba diseludup keluar untuk dijual di negara jiran Filipina berjaya ditahan Pasukan Quick Reaction Force (QRF) dari 11 Rejimen Gerak Khas, Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB2) pada Sabtu. Foto | Ihsan MK ATB 2.

SEMPORNA: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menggagalkan cubaan enam lelaki warga Filipina menyeludup keluar 10,375 liter minyak petrol melalui kawasan perairan Pulau Bum Bum, dekat sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian 8.50 malam itu, suspek masing-masing menggunakan dua bot jongkong dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh Pasukan Quick Reaction Force (QRF) dari 11 Rejimen Gerak Khas, sebelum ditahan untuk tujuan pemeriksaan.

Panglima ATB 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin, berkata pemeriksaan awal keatas dua bot jongkong terbabit mendapati enam awak-awak masing-masing berumur antara 20 hingga 40 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 10,375 liter minyak petrol yang diisi di dalam 415 bekas tong plastik dengan setiap satunya berkapasiti 25 liter selain satu unit tong gas cecair petroleum (LPG).

"Semua barang kawalan itu dipercayai cuba diseludup keluar untuk dijual di negara jiran," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini, lewat malàm tadi.

Wan Edenin berkata nilai keseluruhan barang rampasan termasuk bot bersama empat unit enjin sangkut keseluruhan dianggarkan berjumlah RM79,268.75

"Semua suspek bersama barang rampasan dibawa Jeti Kem Azumi sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama