![]() |
Keadaan struktur rumah dan kenderaan yang mengalami kerosakan akibat angin kencang dan ribut, di Kampung Selamat dan Kampung Sri Aman, di sini, pagi ini. Foto | Ihsan Bomba. |
SEMPORNA: Sekurang-kurangnya 30 buah rumah penduduk di dua buah perkampungan atas air di sini, dilaporkan mengalami kerosakan akibat ribut dan angin kencang, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata kejadian ribut itu dilaporkan berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.21 pagi ini.
Menurutnya, ia melibatkan 20 buah rumah penduduk dan sebuah masjid di Kampung Selamat manakala sepuluh buah rumah di Kampung Sri Aman turut dilaporkan mengalami kerosakan.
"Kejadian mengakibatkan beberapa buah rumah di perkampungan atas air antaranya ada yang roboh selain mengalami kerosakan, dan berlaku litar pintas (wayar putus) berpunca daripada angin kencang.
"Selain itu, sekurang-kurangnya 20 buah kereta milik penduduk juga dilaporkan mengalami kerosakan akibat dihempap struktur dan bumbung rumah yang diterbangkan angin kencang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Madzlan berkata, operasi pemantuan dijalankan oleh pasukan bomba yang turut dibantu pihak SESB bagi memastikan. memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
"Anggaran jumlah kerugian masih disiasat dan operasi ditamatkan kira-kira jam 7.38 pagi," katanya.