Dua bot nelayan ubah suai tangki minyak, tukar nakhoda dirampas

 

LAHAD DATU: Dua bot nelayan ditahan selepas disyaki melakukan pengubahsuaian tangki minyak dan gagal melaporkan pertukaran nakhoda di perairan Pulau Sakar, di sini pada Jumaat.

Kedua-dua bot terbabit ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Lahad Datu menerusi Op Pluto Timur dan Op Tiris, kira-kira jam 2.55 petang.   

Pengarah Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati, bot pertama dikendalikan nelayan warga Indonesia dan seorang palauh manakala bot kedua juga dikendalikan warga Indonesia dan enam palauh. 

Katanya, semua suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot pertama melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai tangki minyak tanpa kebenaran dan mempunyai lesen tamat tempoh.

“Manakala bot kedua melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) iaitu gagal melaporkan pertukaran nakhoda,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, semua suspek dan bot dibawa ke Jeti Perikanan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM350,000.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama