PAPAR: Sebanyak 200 keluarga di daerah ini menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian daripada Yayasan Petronas sempena perayaan Hari Natal yang bakal menjelang tiba.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata sumbangan terbabit diserahkan dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas, Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan yang dihadirinya dimana ia diadakan bertempat Gereja St Augustine Kinarut, di sini, semalam.
"Sumbangan berupa barangan keperluan harian ini sedikit sebanyak membantu para penerima membuat persiapan menjelang perayaan Hari Natal nanti.
"Sumbangan hari ini (semalam) juga merupakan sebahagian daripada keseluruhan 11,850 buah keluarga dari seluruh Malaysia yang telah disantuni oleh Petronas melalui Program Memacu Kehidupan 2024 ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai, Kaamatan, Deepavali, dan kini perayaan Hari Natal.
"Untuk makluman, Yayasan Petronas merupakan cabang impak sosial Petronas yang mempunyai tiga fokus utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti dan alam sekitar.
"Pelbagai program dilaksanakan oleh Yayasan Petronas ini sebagai usaha membantu memberikan kesejahteraan, kelestarian dan pembangunan kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Petronas atas pemberian sumbanga terbabit.
"Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Petronas atas sumbangan yang diberikan sekaligus menyokong dalam menjayakan inisiatif Ihsan Rahmah MADANI," katanya.