![]() |
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor |
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerima maklumat tindakan pihak tertentu menularkan beberapa klip video dakwaan skandal rasuah mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah enggan membuat sebarang pengakuan mengenainya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya difahamkan individu yang bertanggungjawab dalam perkara terbabit tidak membuat pengakuan apabila dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kita pun tahu baru-baru ini bermacam-macam isu yang ditimbulkan. Mereka membuat fitnah pembohongan dan juga merosakkan imej kita, yang dirancang begitu teliti.
"Niat mereka yang melakukan adalah untuk merosakkan kerajaan tetapi saya dimaklumkan apabila yang terlibat itu dipanggil oleh pihak SPRM, dia tidak mengaku dia buat itu. Bayangkan sudah dipanggil tetapi tidak mengaku," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sempena Hari Natal menerusi satu video yang tular dalam laman media sosial.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan mana-mana ADUN Sabah tidak pernah meminta sebarang suapan (rasuah) daripada mana-mana pihak.
"Tetapi bohonglah kalau setiap parti politik atau pemimpin politik tidak menerima dana politik daripada penyumbang-penyumbang.
"Saya telah nyatakan kepada yang amat berhormat Perdana Menteri perkara ini pada minggu lepas. Semua tahu dana politik adalah tidak salah didalam negara kita dan juga dinegara-negara lain pun.
"Macam mana parti politik boleh bergerak kalau tidak ada sumbangan dana politik daripada mereka yang berkemampuan.
Kalau harap wakil rakyat saja punya gaji macam mana kita hidup, makan pun tidak cukup," katanya.