Lelaki warga emas maut dilanggar pacuan empat roda

Foto Polis Penampang

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas maut ketika melintas jalan dalam kemalangan di Jalan Pintas di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.10 malam, mangsa yang berumur 61 tahun itu dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan parah akibat dari kemalangan terbabit.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda pula, iaitu seorang perempuan warga tempatan berumur 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat.

“Saksi kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133 untuk membantu siasatan.

“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan melintas di jalan raya,” katanya.

Erwansyah meminta orang awam agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama