15 buah rumah projek RIM telah siap untuk mangsa kebakaran, penduduk miliki rumah daif di Membakut

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif ketika bergambar dengan penerima rumah projek Rumah Ihsan Membakut (RIM)

MEMBAKUT: Sebanyak 15 buah Rumah Ihsan Membakut (RIM) telah disiapkan bagi penduduk daerah ini yang memerlukan bantuan kediaman dengan kadar segera sejak pelaksanaannya bermula tahun 2022 sehingga tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata rumah dibawah projek RIM yang disalurkan menerusi peruntukan pejabatnya itu disediakan khusus untuk mangsa bencana kebakaran ataupun memiliki rumah daif di daerah ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan 15 buah rumah projek RIM itu menelan kos lebih RM465,000 disamping kos terbabit turut membabitkan pemasangan elektrik dan air.

Mengulas lanjut, katanya bagi rumah projek RIM untuk mangsa kebakaran yang kehilangan kediaman memakan kos sebanyak RM35,000.

Manakala bagi penduduk yang telah mempunyai beberapa bahan awal untuk membina rumah, peruntukan sebanyak RM15,000 disalurkan bagi membantu menampung kos tambahan untuk membeli bahan pembinaan rumah.

"Kita sediakan rumah RIM ini untuk mereka (penduduk Membakut) yang memerlukam bantuan (kediaman) segera. Misalnya baru-baru ini di Kampung Baitam, ada kebakaran (berlaku) yang (musnah) melibatkan beberapa buah rumah.

"Rumah RIM ini dalam masa sebulan lebih siap. Setakat ini, kebanyakan mangsa kebakaran, kita bantu melalui program RIM ini. Ada juga yang rumah tersebut usang, tidak terbakar, kita sediakan juga RIM.

"Tahun ini saja, saya ingat lebih 10 buah rumah kita sediakan dengan bantuan RIM ini. Mudah-mudahan dapat mengurangkan masalah keluarga dan memberikan sedikit keselesaan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Penyerahan Rumah SMJ DUN N.31 Membakut dan Penyampaian Sumbangan Ihsan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) itu turut berkata pihaknya turut mensasarkan untuk membina sebanyak 40 buah rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi daerah ini pada tahun depan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama