LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM153,360 di kawasan hutan paya bakau Kampung Puyut, di sini, pada Rabu.
Dalam serbuan kira-kira jam 5 pagi itu, semua rokok berkenaan disembunyikan di dalam sebuah pondok bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan itu dijalankan selepas menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan rokok seludup di daerah ini.
Katanya, hasil pemeriksaan di kawasan hutan paya bakau itu menemukan sebuah pondok yang menyimpan sejumlah beg plastik pelbagai warna dipercayai berisi rokok tanpa cukai.
“Pemeriksaan lanjut telah menemukan pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM153,360 yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Semua rokok berkenaan dirampas dan tiada tangkapan dijalankan namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pemilik barangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua rokok itu dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Semua rokok itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti penyeludupan. Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pelaku,” katanya.