Warga emas rentung dalam kebakaran rumah di Ranau

Foto ihsan Bomba 


Ranau– Seorang warga emas wanita dilaporkan maut dalam kejadian kebakaran yang melibatkan dua buah rumah di Kampung Muhibbah, Ranau, di sini pagi tadi.

Mangsa, Wong Ling Ying, seorang wanita berusia 74 tahun, ditemui rentung di rumah pertama.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1:20 pagi berhubung kejadian itu.

Sembilan anggota bersama 4 jentera dikerahkan ke lokasi kejadian, operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berdekatan.

“Kebakaran melibatkan dua buah rumah. Rumah pertama yang berukuran 50'x60' kaki telah musnah 99%, manakala rumah kedua yang berukuran 50'x50' kaki mengalami kerosakan sebanyak 50%," katanya dalam satu kenyataan.

Turut terbakar dalam insiden ini ialah dua kenderaan, iaitu sebuah Toyota Hilux yang musnah sepenuhnya dan sebuah Perodua Myvi terbakar 4%.

Mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Api berjaya dikawal pada jam 2:28 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4:14 pagi, setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama