![]() |
Tertuduh, Chong Nyuk Loong, 35, berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Tawau, atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah. |
Tertuduh, Chong Nyuk Loong, 35, mengaku faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam prosiding kes didengar Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kesalahan mengedar dadah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, duda kepada dua anak itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 728.59 gram di Bilik No.3, Lamborgini KTV, Fajar Kompleks, di sini, jam 2.10 pagi, 31 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Mahkamah menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan ujian kimia.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu kesalahan mengedar 394.18 gram dadah jenis sama dan memiliki 13.88 gram dadah berbahaya jenis Ketamin yang mana perbuatan itu didakwa dilakukan pada tarikh, masa dan di lokasi yang sama.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.
Manakala bagi kesalahan memiliki Ketamin, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun juga hendaklah dikenakan hukuman minima tiga kali sebatan dan tidak lebih daripada sembilan sebatan.
Mahkamah menetapkan tarikh 10 Disember ini sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan ujian kimia.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala tertuduh diwakili peguam Jhassery P Kang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).