Semua PATI terbabit dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 302 lelaki, 208 wanita dan 212 kanak-kanak berusia 12 tahun kebawah.
Katanya, program ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara Filipina daripada Depot Imigresen Papar.
“Ini adalah program pemindahan siri ke-20 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia.
“Semua PATI berusia lingkungan usia sebulan hingga 70 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Menurutnya, hingga kini seramai 5,503 tahanan warga Filipina sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PATI dihantar pulang mencecah 7,873 orang.
“Jumlah orang yang dipindahkan mengikut pecahan iaitu 5,570 warga Filipina diikuti Indonesia (2082); Pakistan (89); Vietnam (39); China (34); India (4).
“Kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan jalinan hubungan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan asing di Malaysia,” katanya.
SH Sitti Saleha berkata, Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot-depot imigresen di Sabah.
“JIM Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.