![]() |
Suspek wanita ditahan selepas menceroboh dan menyerang jirannya sehingga menyebabkan kecederaan. Foto kredit - PDRM |
TAWAU : Polis menahan seorang wanita selepas bertindak menceroboh dan menyerang jirannya sehingga cedera dalam kejadian di Batu 4 Jalan Apas, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, suspek bertindak demikian selepas berang apabila didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa adalah seorang wanita yang juga jiran kepada pasangan suami isteri (suspek) yang dikenalinya selama dua tahun.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dikatakan telah menuduh suspek mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
"Bagaimanapun suspek yang tidak berpuas hati terhadap tuduhan itu bertindak agresif dengan merosakkan pagar zink rumah dan memukul mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian muka dan kedua-dua lengan.
"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebelum suspek ditahan pada hari sama," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah disabitkan dengan kesalahan dibawah seksyen 9(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 4A (a) Akta yang sama.
"Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 324 dan seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.