KUALA LUMPUR, 8 November 2024 – Jemaah Menteri telah meluluskan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) yang dianggarkan menelan kos RM442.3 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengatakan projek ini akan dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui pembiayaan swasta sepenuhnya tanpa jaminan kerajaan.
Projek berkenaan dijangka siap pada 2027 yang akan mengambil masa 48 bulan dengan fasa prapembinaan bermula tahun ini.
"Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh inisiatif pembiayaan swasta MAHB tanpa melibatkan jaminan kerajaan,” katanya.
Anthony berkata, projek tersebut akan menambah kapasiti terminal LTAKK daripada 9 juta kepada 12 juta penumpang setahun, selain menyediakan kemudahan baharu seperti bangunan bertingkat dan tambahan tujuh ruang parkir pesawat.
Selain itu, infrastruktur sokongan termasuk penambahbaikan jalan raya di sekitar lapangan terbang, serta penggunaan teknologi hijau dan integrasi Teknologi Airport 4.0 bagi mengoptimakan kecekapan operasi melalui automasi dan teknologi canggih.
Anthony menjelaskan, sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), LTAKK mencatat kapasiti penumpang 9.4 juta pada 2019, melebihi had asalnya.
"Berdasarkan unjuran, jumlah ini dijangka meningkat kepada 12.4 juta penumpang setahun menjelang 2034. Hingga Oktober 2024, LTAKK telah menerima 6.6 juta penumpang, meningkat 13.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023," katanya.
Tambahnya lagi, projek ini adalah satu komitmen kerajaan untuk memastikan infrastruktur di Sabah mampu memenuhi keperluan semasa dan masa depan.
"Saya yakin pelaburan ini akan membuka peluang dan membawa kemakmuran kepada rakyat Sabah dan negara," ujarnya.
Meskipun penurunan berlaku pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19, jumlah penumpang kembali meningkat kepada tujuh juta pada 2023.