Dakwaan itu berkisar hubungan rapat dengan seorang broker dari Semenanjung, sejak bekas pegawai itu bertugas di Jabatan Mineral dan Geosains, kata sumber.
Difahamkan, broker berkenaan bertindak sebagai orang tengah di beberapa negeri bagi membantu syarikat penerokaan mineral mendapatkan lesen teroka melalui rasuah, berdasarkan petikan laporan FMT semalam.
Menurut sumber, pakatan sulit antara pegawai dan broker mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang memutuskan tidak memperbaharui kontrak pegawai tersebut, menjadikannya “sangat kecewa”.
“Penamatan kontrak juga membolehkan dilakukan siasatan yang mendapati pelanggaran tatakelola yang baik dan salah guna kuasa,” kata sumber.
“Bagi melindungi diri mereka, bekas pegawai kanan dan broker berkenaan menggunakan taktik ugutan seperti rakaman video yang telah dirancang sejak awal.
“Mereka bekerjasama dengan parti politik tertentu untuk meneruskan agenda mereka, dan mereka juga cuba melindungi diri untuk mendapatkan perlindungan di bawah undang-undang pemberi maklumat dengan bertindak sebagai pemberi maklumat dengan tujuan melindungi jenayah mereka.”
Sumber itu berkata, Hajiji enggan tunduk dengan cubaan peras ugut berkenaan, yang dilaporkan sudah bermula beberapa bulan lalu.
Semalam, Malaysiakini mendedahkan video yang memaparkan bekas pegawai kanan tersebut menuduh Hajiji menyalahgunakan kuasa.
Dalam video berkenaan, bekas pegawai kanan mendakwa keputusan yang dibuat berkait firma perlombongan milik kerajaan negeri, yang dipengerusikan Hajiji, “sangat dipengaruhi politik”.
Hajiji yang ditemui media semalam menyatakan kesediaan kerajaan yang dipimpin beliau untuk memberi kerjasama secara penuh.
Selain itu, beliau menggesa pihak berkuasa turut melakukan tangkapan dan siasatan ke atas penerima termasuklah pemberi rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan menegaskan beliau tidak akan memberi jaminan perlindungan kepada individu mendakwa menjadi pemberi maklumat tetapi turut terbabit dalam rasuah.
SPRM tidak boleh memberikan jaminan imuniti bertulis tanpa maklumat terperinci berkenaan perlakuan salah tersebut, namun pemberi maklumat diminta memfailkan aduan rasmi sekali gus membolehkannya dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.