Wanita cedera melecur di tangan dalam kebakaran di Beluran

 

Seorang wanita berjaya menyelamatkan diri daripada bara api Kampung Kuala Sapi, di sini awal pagi tadi.


BELURAN: Seorang wanita nekad mengharungi api sebelum berjaya keluar menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Kuala Sapi, di sini musnah terbakar, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, mangsa Ronis Jonus, 35, mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan ketika cuba menyelamat diri bersama tiga ahli keluarga yang lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.56 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota dan pegawai bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal sudah musnah dalam kebakaran dan usaha memadam terus dijalankan.

“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran dari sumber air sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa wanita mengalami kecederaan melecur di tangan dan telah diberikan rawatan awal oleh anggota bomba.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.58 pagi dan setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 6.25 pagi.

“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian mangsa,” katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama