PH Sabah dalam proses akhir pilih kawasan bertanding

Foto Ihsan GRS. 


KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan kerusi sebelum berbincang bersama parti-parti lain.

Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud mengalu-alukan cadangan presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengadakan perundingan.

“Kita bersetuju, kita mengalu-alukan. Tapi bagi masa kepada parti Parti Keadilan Rakyat (PKR), PH untuk berbincang di peringkat kami sebelum boleh berunding dengan parti-parti yang lain.

“Kita akan berbincang dulu di peringkat PKR dan kita kenal pasti mana kerusi-kerusi yang berpotensi. Lepas itu kita akan bawa ke majlis perlindungan Pakatan Harapan. Dan kita akan kenal pasti berunding mana kerusi masing-masing.

“Selepas selesai , baru kita akan buka rundingan dengan parti-parti yang lain,” beliau berkata di sidang media semalam.

Beliau juga menjelaskan pertemuan tidak rasmi antara pemimpin PH Sabah dan Barisan Nasional merupakan jemputan setiausaha agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Zambry adalah Menteri Pengajian Tinggi, manakala Mustapha merupakan timbalan Menteri untuk kementerian yang sama.

“Kami telah membuat perjumpaan tidak rasmi dengan Barisan Nasional. Saya telah memberi taklimat kepada Biro-Politik bahawa mesyuarat tersebut adalah mesyuarat tidak rasmi.

“Ia hanya perbincangan untuk masing-masing meluahkan pandangan masing-masing bagaimana kita menghadapi politik Negeri Sabah sekarang untuk persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ke-17.

“Bagi kami dalam Parti Keadilan Rakyat, kami mahu supaya untuk menghadapi PRN ini kita kena mengambil kira sentimen lokal. Itu penting. Walaupun mungkin PH-BN itu di peringkat semenanjung terutamanya agak baik dari segi kerjasamanya.

“Tapi dalam konteks Sabah, mahu tidak mahu, kita kena pastikan sentimen lokal itu penting. Kita kena mengambil kira sentimen rakyat Sabah yang mahu supaya hak mereka diperjuangkan.

“Jadi ini antara yang kita bincang dan kita juga telah putuskan bahawa kita akan bawa isu ini di peringkat mesyuarat PH untuk kita putuskan bersama.”

Mustapha juga berkata PH Sabah akan buat keputusan akhir dari sudut kerjasama parti untuk menghadapi PRN ke-17.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama