PAPAR: Seorang lelaki yang tular di media sosial kerana memandu lori treler secara melawan arus di Kilometer 8, Lebuhraya Pan Borneo, di sini, akhirnya berjaya ditahan, pagi tadi.
Terdahulu tular sebuah video berdurasi 18 saat yang memaparkan sebuah lori treler dipandu melawan arus sehingga menimbulkan kemarahan ramai warga maya sejak awal pagi tadi.
Suspek berusia 38 tahun itu, berjaya ditahan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan mengenai satu video tular yang memaparkan sebuah lori dipandu melawan arus.
Susulan itu katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Papar terus menjalankan siasatan ke atas video berkenaan dan mengesan lori terbabit.
“Hasil siasatan awal, mendapati kejadian berkenaan berlaku pada Jumaat lepas, kira-kira jam 9.30 pagi sebelum tular di media sosial.
“Pasukan polis berjaya mengesan lori berkenaan dan melakukan penahanan ke atas seorang lelaki dipercayai pemandu lori treler terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek bersama lori treler berkenaan dibawa ke IPD Papar untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.