KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga (ST) berjaya melupuskan sejumlah 1,224 barangan rampasan bernilai lebih RM100,000 bagi beberapa kes di negeri Sabah.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak ST hari ini, proses pelupusan terbabit membabitkan kes Ops Curi Elektrik yang melibatkan lima kertas siasatan, Ops Kelengkapan Elektrik melibatkan empat kertas siasatan dan kes kemalangan elektrik melibatkan empat kertas siasatan.
Timbalan Pengarah Unit Penyiasatan ST, Ir Nik Mohd Bakhry Abu Bakar telah hadir bagi menyaksikan proses pelupusan barangan rampasan terbabit.
Proses pelupusan barangan rampasan tersebut dilaksanakan di sebuah pusat pembuangan dan pelupusan logam di Kota Kinabalu Industrial Park, di sini, pada hari ini.
"Pelupusan barang rampasan ini dilakukan berdasarkan arahan Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) yang melibatkan 13 kertas siasatan yang telah selesai melalui proses mahkamah dan kompaun.
"ST telah melantik sebuah syarikat yang!berlesen dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pengurusan e-waste dilaksanakan secara lestari, bagi mematuhi keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
"Proses pengurusan barangan kes ini melibatkan pengasingan antara sisa terjadual, sisa boleh dikitar semula dan sampah.
"Menurut pihak syarikat, barangan ini akan dihantar kepada pembeli dan ke fasiliti pemprosesan lengkap jadual berdasarkan pengasingan yang dilaksanakan," jelas dalam kenyataan itu.