![]() |
Siti (tengah), ketika sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Sabah, hari ini. |
KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama bernilai RM528,082 dalam dua operasi berasingan baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Siti Mang, berkata kejayaan ini adalah hasil kolaborasi strategik antara unit-unit dalam JKDM Sabah, menunjukkan komitmen jabatan dalam mendukung prinsip keselamatan dan integriti di bawah gagasan Malaysia MADANI.
“Pada 10 Oktober 2024, kira-kira jam 10 pagi, pasukan kami menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar. Pemeriksaan mendapati kontena itu mengandungi 23,760 liter minuman keras bernilai RM90,050.40 dengan cukai terlibat sebanyak RM368,375.04,” katanya dalam sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Sabah, di sini.
Menurut Siti, kontena itu diikrarkan membawa barangan seperti “peanut canned” dan “fish luncheon”, namun siasatan lanjut membuktikan deklarasi tersebut adalah palsu.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Sementara itu, pada 24 Oktober 2024, pasukan penguatkuasaan JKDM menyerbu sebuah stor di Jalan Padas Valley, Kampung Luagan Sanginan, Beaufort. Operasi ini berjaya menemui 3,675.12 liter minuman keras bernilai RM13,867.26, dengan cukai sebanyak RM55,790.20.
“Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan semasa operasi, dan stor tanpa nombor itu dikenal pasti sebagai tempat penyimpanan barangan tidak berkastam,” tambahnya.
Siti turut menjelaskan siasatan mendapati cubaan penyeludupan ini menggunakan dua kaedah utama, iaitu deklarasi palsu semasa pengimportan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, serta penyimpanan barangan di stor yang tidak berpenghuni.