KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji menegaskan kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat laporan salah laku dalam pengurusan hal ehwal mineral negeri ini.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk pendedahan satu video di sebuah portal berita tempatan berkaitan pengurusan mineral Sabah yang mengaitkan sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri di sini.
"Saya juga ingin menyentuh sedikit berhubung isu yang hangat diperkatakan mengenai pengurusan mineral. Laporan berkaitan perkara tersebut telah pun diserahkan oleh pihak Sabah Mineral Management (SMM) kepada pihak berwajib.
"Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menjalankan
siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat sebarang unsur salah laku atau penyalahgunaan kuasa.
"Bagi maklumat yang terperinci, saya tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut kerana kes ini sedang dalam siasatan oleh pihak
berwajib dan sebarang kenyataan boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan dewan yang mulia ini, saya ingin memberi jaminan bahawa pengurusan pentadbiran baharu SMM adalah teratur dan mengikut tadbir urus yang baik.
"Semua pertimbangan dan kelulusan diputuskan melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, malam ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata SMM merupakan syarikat milik penuh kerajaan negeri bagi menguruskan sektor mineral di Sabah.
Mengulas lanjut, katanya sebarang permohonan untuk pajakan perlombongan (mining lease) untuk operasi perlombongan hanya akan diputuskan setelah dibuktikan terdapat mineral yang bernilai untuk dibangunkan hasil daripada dapatan kerja lesen mencari gali (prospecting license).
"Kepentingan kerajaan negeri akan dibincangkan di dalam mesyuarat jemaah menteri sebelum pajakan perlombongan dikeluarkan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan CEO SMM yang baharu, Natasha Sim mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Jontih Enggihon atas penemuan salah laku.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata siasatan dalaman syarikat mengesan pelanggaran tugas fidusiari dan dakwaan aktiviti penipuan dilakukan Jonith selain berlaku penyampaian maklumat yang salah kepada lembaga pengarah SMM sepanjang mengetuai syarikat berkenaan.
Susulan itu, SMM membuat laporan rasmi kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Baru-baru ini, sebuah video memaparkan temubual Jontih berhubung perkara yang berlaku berkaitan isu mineral ketika beliau masih menjawat jawatan sebagai CEO sehingga tamat kontrak pada Ogos lalu.