KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk membatalkan Perjanjian Lesen Sabah Forest Industries (SFI) bermula 1 September 2021 atas dasar kepentingan awam.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata tindakan terbabit diambil susulan syarikat SFI yang dibeli oleh Ballarpur Industries telah diisytiharkan muflis dan tidak lagi mengusahakan kawasan lesen tersebut.
"Atas dasar kepentingan awam juga, geran tanah SFI yang berkeluasan 12,348.8 hektar telah diambil balik dan diberi hak milik kepada Kumpulan Yayasan Sabah.
"Manakala, seluas 238,563 hektar kawasan konsesi SFI telah dilesenkan Semula kepada tiga pelesen Sustainable Forest Management Lisence Agreement (SFMLA) di mana kerajaan negeri mempunyai kepentingan ekuiti 15 peratus melalui Chief Minister Incorporated (CMI) dan Yayasan Sabah.
"Skim Penggunaan, Pemprosesan, Pengurusan, Penyelidikan dan Pembangunan Pemuliharaan Kayu Hutan Lestari Daerah Sipitang adalah nama bagi skim tujuan awam di mana tanah bekas SFI telah diperolehi oleh kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, malam ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kebenaran membalak telah diberikan kepada Yayasan Sabah bagi membolehkan kayu akasia yang ditanam di kawasan SFI (tanah bergeran) terbabit dibalak.
Menurutnya, ini berikutan terdapat kes jangkitan kulat yang menyerang pokok tanaman di kawasan tersebut.
"Proses penuaian pokok perlu disegerakan untuk mengeluarkan pokok-pokok tanaman yang dijangkiti kulat tersebut bagi membolehkan penanaman pokok baharu dijalankan.
"Penyakit kulat yang menyerang pokok tanaman akasia ini memerlukan penuaian segera bagi mengelakkan penyebaran jangkitan ke kawasan yang lain.
"Setakat 3 November lepas, pembalakan telah dilaksanakan di kawasan seluas lebih kurang 1,921.33 hektar dan pihak Yayasan Sabah akan menjalankan penanaman semula di kawasan tersebut dengan kos penanaman lebih kurang RM12,000 sehektar," katanya.