Sabah tidak mempunyai kawalan berkaitan pengurusan dan pembahagian peruntukan dari Persekutuan

Menteri Kewangan Negeri berkata hanya sebahagian kecil sahaja daripada peruntukan tersebut disalurkan terus kepada agensi Kerajaan Negeri dan dipantau oleh kementerian Persekutuan.


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mempunyai kawalan dalam pengurusan dan pembahagian peruntukan bagi sebarang projek pembangunan untuk Sabah yang diperuntukkan dari kerajaan Persekutuan.

Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata hanya sebahagian kecil sahaja daripada peruntukan tersebut disalurkan terus kepada agensi Kerajaan Negeri dan dipantau oleh kementerian Persekutuan.

"Walau bagaimanapun, prestasi kemajuan projek ini dipantau melalui Majlis Tindakan Pembangunan Negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah dan diurusetiakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO)," katanya.

Mengulas lanjut, Masidi berkata terdapat beberapa faktor yang menyebabkan dana pembangunan yang diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya.

Antaranya ialah kerajaan negeri lewat menerima senarai projek yang telah diluluskan di peringkat Persekutuan disamping kurang koordinasi di antara agensi Persekutuan, negeri dan Jabatan Teknik.

"Kerajaan negeri tidak dilibatkan lebih awal oleh kementerian dan Jabatan Persekutuan dalam proses pemilihan projek atau tapak yang sesuai.

"Selain itu, Jabatan Teknik tidak dimaklumkan oleh kerajaan Persekutuan lebih awal dilantik sebagai pelaksana projek yang diluluskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, malam ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata peruntukan asal dari Persekutuan 2024 adalah berjumlah RM6.67 bilion dan peruntukan disemak adalah sebanyak RM5.063 bilion membabitkan sebanyak 1,241 projek.

"Setakat 7 Oktober 2024, prestasi perbelanjaan atau peruntukan yang telah disalurkan telah mencapai 53.97 peratus ataupun RM2.732 bilion.

"Sebagai makluman, penyaluran peruntukan secara langsung dan juga pinjaman adalah mengikut kemajuan prestasi pelaksanaan projek.

"Perancangan kerajaan negeri untuk meletakkan peruntukan Persekutuan yang tidak habis diguna ke dalam Tabung Amanah Khas telah ditolak oleh Kerajaan Persekutuan.

"Ini kerana peruntukan tersebut merupakan pinjaman daripada institusi tertentu untuk membiayai program dan projek pembangunan di negeri Sabah," katanya.

Walau bagaimanapun, katanya bagi menambah baik prestasi perbelanjaan peruntukan persekutuan tersebut, kerajaan negerj akan memohon untuk dilibatkan dari peringkat awal perancangan dan penetapan projek.

"Selain itu, kerajaan negeri akan meneruskan rundingan dengan kerajaan Persekutuan agar sejumlah peruntukan pendahuluan untuk kerja-kerja awalan dapat disalurkan lebih awal.

"Walau bagaimanapun, Majlis Tindakan Pembangunan Negeri telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Ia bagi memperbaiki prestasi pelaksanaan projek yang mengalami masalah dan membolehkan peruntukan yang diluluskan dapat digunakan," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama