Datuk Ong Kim Swee sah tinggalkan Sabah FC

Foto Ihsan: Sinar Harian

KOTA KINABALU – Datuk Ong Kim Swee hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mengakhiri tugasnya sebagai Jurulatih Sabah FC selepas kontraknya tamat pada November 2024.

Keputusan itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosialnya.

“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dan tidak akan meneruskan tugasan saya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC selepas kontrak saya tamat pada November 2024. 

“Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024.

“36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu tempoh yang singkat, dan perjalanan ini amat luar biasa,” katanya.

Sesi latihan terakhir Ong Kim Swee di padang latihan Sabah FC. (Foto Ihsan: FB Sabah football club)
Ong, yang kini berusia 53 tahun, meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin pasukan bola sepak negeri Sabah selama tiga tahun.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya, dan pihak pengurusan tertinggi Sabah FC atas peluang dan sokongan mereka sepanjang tempoh tersebut.

Beliau bahkan berasa sangat berbangga dengan pemain-pemain didikannya dan bekerjasama bersama pasukan itu merupakan satu penghormatan besar baginya. 

“Komitmen dan profesionalisme anda sama ada di atas mahupun di luar padang adalah sesuatu yang luar biasa,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penyokong setia Sabah FC yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan itu. 

“Kepada pegawai sokongan, penghargaan tertinggi saya berikan atas usaha tanpa henti dan komitmen anda di belakang tabir. Kepakaran dan semangat anda adalah tunjang kepada segala pencapaian kita selama ini,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama