Sabah sedang dalam proses jejaki KIR tidak berdaftar dalam e-Kasih, langkah basmi miskin tegar

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sebelum sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula - ihsan Jabatan Penerangan Sabah


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) sedang dalam proses menjejaki Ketua Isi Rumah (KIR) yang tidak berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih yang layak mendapatkan intervensi bantuan di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri menggunakan dua jenis data bagi pengurusan pembasmian miskin tegar di negeri ini.

Mengulas lanjut, katanya dua jenis data terbabit adalah data locked figure (LF) yang telah dikunci pada Januari tahun lepas oleh merajaan Persekutuan bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa Satu Tahun 2024.

"Manakala data dinamik iaitu data yang sentiasa berubah mengikut masa dalam pangkalan data e-Kasih.

"Walau bagaimanapun, data dinamik setakat September ini yang diperolehi daripada sistem pangkalan data e-Kasih menunjukkan seramai 3,978 KIR masih berstatus miskin tegar. 

"Perubahan status ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor iaitu perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima, ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia atau berpindah ke negeri lain," katanya.

Dalam pada itu Nizam turut berkata berdasarkan kerja 'profiling' di lapangan yang dilaksanakan oleh SSMJ telah merekodkan seramai 268 KIR yang tiada dalam daftar pangkalan data e-Kasih. 

"Perkara ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti masalah kewangan untuk berurusan di pejabat daerah, kekangan pengangkutan untuk keluar ke pekan, tiada akses kepada pendaftaran di dalam sistem atas talian e-Kasih oleh KIR untuk mendaftarkan diri disebabkan rasa segan atau malu dan sebagainya.

"Dapatan ini berdasarkan daripada kerja profiling hasil aduan dan laporan awam yang dilaksanakan di 23 daerah daripada keseluruhan 28 daerah di Sabah dan 11 daerah kecil" katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum berkaitan status perkembangan inisiatif menoktahkan kemiskinan di Sabah menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata SSMJ sedang menambah baik banci data kemiskinan dengan menggunakan 13 indikator tambahan khusus untuk Sabah bagi penentuan status kemiskinan dan cadangan intervensi bantuan. 

"Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Negeri Sabah (PADANS) juga telah dibangunkan dengan tujuan penyimpanan data, solusi intervensi bantuan dan rujukan silang di masa akan datang," katanya.

Nizam turut menambah peruntukan Rumah Mesra SMJ akan dinaikkan kepada 40 unit bagi setiap DUN yang melibatkan pembinaan 3,000 unit rumah di 73 DUN dengan kos sebanyak RM250 juta bermula tahun depan.

Katanya lagi, SSMJ  juga telah menyalurkan Bantuan Tunai Khas Miskin Tegar kepada KIR yang telah dikenal pasti dalam Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Satu 2024 dengan jumlah pemberian bernilai RM300 hingga RM600 bagi tempoh enam bulan dengan peruntukan berjumlah RM2.8 juta. 

Setakat September tahun lepas, Sabah merekodkan seramai 68,089 KIR berstatus miskin, manakala seramai 3,978 KIR berstatus miskin tegar.

Jumlah keseluruhan KIR miskin dan miskin tegar adalah seramai 72,067 dan melibatkan 265,335 Ahli Isi Rumah (AIR).


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama